Ahad, 18 Mac 2012

Hadis Qudsi 6

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Tidaklah Kujadikan kamu wahai manusia, untuk membanyakkan yang sedikit, dan bukan pula untuk bersuka-suka untuk menghilangkan kesunyian, serta bukan untuk menjadi pembantuKu untuk melakukan sesuatu yang Aku lemah melakukannya: bukan pula untuk sesuatu manfaat  atau untuk menghindar daripada mudarat. Akan tetapi, Ku jadikan kamu adalah untuk mngabdi kepada-Ku berpanjangan, supaya kamu bersyukur kepada-Ku banyak-banyak dan supaya kamu bertasbih Kepada-Ku pagi dan petang."

Wahai seklian manusia, seandainya semua kamu, daripada yang mula-mula sampai yang ke penghabisan, yang bangsa manusia dan bangsa jin, yang kecil dan yang besar, yang merdeka dan yang abdi saling tolong menolong bersama-sama mentaati Aku, maka yang sedemikan tidak akan menambah sebiji zarah pun ke dalam kerajaan Ku. Sesiapa yang berjihad untuk dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya daripada seluruh alam."

"Wahai manusia, sama saja, iaitu jika engkau menyakiti, maka maka engkau pun akan disakiti. Apa yang engkau lakukan maka hal sama jugalah yang akan dilakukan ke atasmu."

Ahad, 9 Oktober 2011

Amalan Bulan Zulhijjah

UMAT Islam kini berada dalam Zulhijah, bulan terakhir dalam kalendar
Islam. Bulan ini mengandungi beberapa kelebihan, terutama ibadat
haji dan korban.

Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu `Abbas bahawa Rasulullah
SAW bersabda bermaksud: "Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan
padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu
sepuluh hari Zulhijah." Sahabat bertanya : "Apakah juga
(pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah?" Ujar
Baginda: "Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali
bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak
membawa pulang apa-apa pun."

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Ibnu `Umar bahawa Baginda
bersabda : "Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai
kelebihan melainkan pada hari-hari sepuluh Zulhijah ini, oleh kerana
itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir
(Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)."

Ibnu Hibban di dalam kitab sahihnya meriwayatkan daripada Jabir
bahawa Baginda bersabda: "Seutama-utama hari adalah hari Arafah."

Jenis amalan yang dianjurkan:

Menunaikan ibadat haji dan umrah yang juga sebaik-baik amalan.
Banyak hadis yang menyatakan kelebihan ibadat ini, antaranya sabda
Nabi: "Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang
dilakukan di antara kedua-duanya dan haji yang baik (diterima) tiada
baginya balasan melainkan syurga."

Berpuasa pada hari itu atau sekadar kemampuannya, terutama pada hari
Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang
terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti dinyatakan di dalam
sebuah hadis qudsi bermaksud: "Puasa itu adalah bagi-Ku dan Akulah
yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan
minumannya semata-mata kerana-Ku."

Daripada Abu Sa'id al Khudri berkata, Rasulullah bersabda : "Tiada
seorang pun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan
Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya daripada api neraka
sejauh tujuh puluh tahun." (Muttafaq `alaih).

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abi Qatadah bahawa Rasulullah
bersabda: "Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan
menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang."

Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah
bermaksud : "(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa
hari yang termaklum)." Hari itu dijelaskan sebagai 10 hari di
Zulhijah.

Oleh itulah, ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada
hari itu seperti mafhum hadis Ibnu `Umar yang diriwayatkan oleh Imam
Ahmad antaranya : "Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil
(La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu
Lillah)." Imam Al Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu `Umar dan Abu
Hurairah pada hari itu selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti
oleh orang ramai.

Imam Ishaq meriwayatkan bahawa fuqaha (ahli fikah) di kalangan
tabien (generasi selepas sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari
itu "Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu
Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu".

Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di
pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah
bermaksud : "Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas
nikmat-Nya menghidayat kamu)."

Dibolehkan pada hari itu berzikir dengan zikir lain dan segala doa
baik.

Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan
amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana
maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba
daripada rahmat Allah, manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan
kasihnya Allah kepadanya.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Baginda
bersabda : "Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila
seseorang hamba-Nya melakukan perkara yang ditegah-Nya."
(Muttafaq `alaihi).

Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan sunat tambahan
seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al-Quran, menyeru
kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya. Hal ini
kerana semuanya akan digandakan pada hari itu.

Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil, lebih disukai oleh
Allah berbanding hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti
berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang
terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari itu melainkan
apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan
darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu
siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu
yang dikerjakan secara berjemaah.

Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari
Subuh hari Arafah (9 Zulhijah) dan bagi yang menunaikannya takbir
bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijah). Semuanya
berakhir sehingga waktu Asar pada hari 13 Zulhijah.

Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari
raya haji dan hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijah). Ia adalah
sunnah (amalan) Nabi Ibrahim selepas Allah mengujinya dengan
perintah menyembelih anaknya, Nabi Ismail tetapi ditebus ujian itu
dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Ummu Salamah bahawa Nabi
bersabda : "Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijah dan ada
di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan),
hendaklah dia menahan dirinya daripada (memotong) rambut dan
kukunya."

Di dalam riwayat lain : "Maka janganlah dia memotong rambut dan
kukunya sehinggalah dia berkorban."

Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi
mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari
kampung mereka yang dijelaskan oleh Allah, maksudnya : "Dan
janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan
(yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu
sampai ke tempatnya."

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus
kepada pemilik haiwan korban itu saja dan tidak termasuk isteri dan
anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpama. Tidak
mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya
kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

Setiap Muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya
secara berjemaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam
selepas selepas solat itu supaya mendapat pengajaran daripadanya.

Penuhilah hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir,
bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya dan
mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-
Nya.

Khamis, 16 Jun 2011

Empat perkara membawa kebahagiaan manusia

Apabila membicara tetang kebahagiaan, secara umumnya pendefinisian setiap individu berbeza-beza. Tetapi hakikat kebahagian yang dicari itu sebenarnya di mana dan dalam bentuk apa. Ada yang mengatakan mereka gembira apabila mendapat harta, ada pula yang mengatakan apabila bersama-sama orang yang tersayang dan tak kurang anehnya ada juga yang merasa bahagia apabila melihat orang lain sengsara. 

Kebahagiaan lawannya penderitaan. Tidaka ada siapapun di dunia ini menginginkan penderitaan dan kesengsaraan. Tidak sedikit insan yang dalam usaha mencari kebahagiaan, tapi akhirnya derita yang ditanggung. Itulah kehidupan tidaklah seindah kata-kata pujangga yang tercoret dalam novel cinta. Realiti tetap realiti.
Jadi apakah kebahagiaan itu sebenarnya dalam Islam?
Saya cuba mendapat jawapan yang saya kira mampu merungkaikan persoalan ini. Dengan hati yang terbuka dengan minda yang sihat sama-sama kita menilai, kebahagiaan yang kita capai hari ini adalah sebenarf-benarnya kebahagiaan.

SESUNGGUHNYA, kebahagiaan adalah dambaan setiap manusia yang menghuni dunia ini. Sebab itu setiap orang sentiasa berusaha untuk mencari dan mendapatkan kebahagiaan dengan pelbagai cara. Namun tidak semua manusia mampu mencapai impiannya atau memperoleh kebahagiaan yang dicari dan yang dicita-cita itu. Lalu, di manakah terletaknya kebahagiaan itu? Apakah pada wang yang banyak, harta yang melimpah, emas yang bertimbun atau pada pangkat, bangsawan atau kerusi yang empuk?
Dalam hadis, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
“Empat perkara yang membawa kebahagiaan kepada manusia, iaitu (memiliki)
perempuan (isteri) yang solehah, rumah yang bagus (luas), jiran yang baik, dan
kenderaan yang bagus.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Berdasarkan hadis ini, ada empat faktor atau kunci yang jika dimiliki oleh seseorang, tentu dia akan merasai nikmat bahagia. Namun tidak bererti hanya yang empat itu saja faktor yang membawa kebahagiaan. Apa yang Rasulullah nyatakan menerusi hadis itu hanyalah sekadar menunjukkan keutamaannya. Rasulullah meletakkan isteri yang baik pada urutan pertama sebagai faktor kebahagiaan seseorang. Isteri yang solehah akan memberikan ketenangan kepada suami. Rumah ibarat syurga jika memiliki isteri yang solehah. Antara sifat isteri solehah ialah hormat dan patuh kepada suami sepanjang suami mengikuti jalan kebenaran, melayan suami dengan baik dan penuh sopan, sentiasa menutup aurat, memasak dan menghidangkan makan minum untuk suami, mendidik anak-anak agar anak juga terselamat daripada godaan duniawi, bersikap mesra dalam berhubungan dengan kaum keluarga, menjaga rahsia rumah tangga, tidak keluar rumah tanpa izin suami
dan banyak lagi sifat lain. Allah melukiskan menerusi al-Quran mengenai sifat isteri yang solehah, menerusi
firman-Nya yang bermaksud:
“Maka perempuan-perempuan yang baik (solehah) itu ialah yang taat (kepada Allah
dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib
dipeliharanya) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan
pertolongan-Nya.”(Surah an-Nisaa’ ayat 34).
Ibnu Abbas mengemukakan dua ciri khas mengenai pengertian as-solehah (isteri yang soleh) iaitu mempunyai perilaku baik (berakhlak/sopan) terhadap suami, dan mengerjakan perbuatan kebajikan.

Rabu, 15 Jun 2011

Tujuh Perempuan Bertanya, Seorang Lelaki Menjawab.

Kaum feminin cakap “susah jadi wanita”, mereka telah digoda dan diperdaya oleh syaitan dan hawa nafsunya sendiri, seperti yang kita lihat dialog dibawah, bagaikan mempersoalkan ketentuan Allah terhadap mereka. Dengan kata lain yang agak kasar, Allah berat sebelah pada kaum wanita.


Keluhan remaja perempuan A:
“Aduh, situ tutup, sini tutup. Susah la gini. Apasal laki-laki mudah saja. Tak pakai baju pun takpe. Perempuan auratnya lagi banyak.”


Keluhan isteri A:
“Kenapa la kita para isteri ni nak keluar kena minta izin dari suami kita, padahal suami kita nak keluar kemana-mana pun tak bagitau kita takpe pulak.”


Keluhan remaja perempuan B:
“Jika kita ikut faraid dalam hal pusaka, rugilah kita. Sebab bahagian harta pusaka perempuan lagi sedikit berbanding harta yang anak lelaki dapat. Kami mahu keadilan!”


Keluhan isteri B:
“Kenapa Allah jadikan wanita mengandung dan rasa sakitnya nak melahirkan anak. Suami kita rileks saja? Masa buat anak carilah kita, masa nak beranak kita tanggung sendiri!”


Keluhan isteri C:
“Islam kata kita perempuan wajib taat pada suami, tapi ada Islam cakap suami perlu taat pada isterinya? Mana keadilan pada kaum hawa?”


Keluhan isteri D:
“Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talak. Kenapa isteri tak bolek ceraikan suaminya? Kenapa?”


Keluhan remaja perempuan C:
“Wanita takleh nak beribadat macam lelaki, sebab bila kita ada haid dan nifas, takleh nak solat dan puasa. Ingat perempuan ni suka ke tak solat dan puasa?”.


Dan kemudian datanglah pertubuhan dan organisasi yang membela kaum wanita, dan menuntut hak samarata antara gender, mengekploitasi fahaman wanita yang terjejas akidahnya dek kerana disogok pertanyaan. Kaum lelaki pula cakap, “Ah, mujur aku ni lelaki!”


Tunggu..! Istigfarlah pada wanita yang ada perasaan seperti di atas. Mujur ada seorang lelaki yang bukanlah seorang ustaz namun amat yakin bahawa Allah itu Maha Adil. Dia tidak mampu menuturkan sabda Rasulullah s.a.w dan petikan dari ayat Al-Quran, namun dengan keimanan dan ilmu sedikit yang dia ada ,diolah sebaiknya untuk menjawab soalan-soalan melampau itu.


Lelaki beriman menjawab keluhan remaja perempuan A:
“Cik adik, Islam lah yang mengangkat aurat wanita. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan ditempat yang teraman dan terbaik. Awak ada emas dan permata, adakah awak nak letak terdedah ditepi laluan lalu lalang atau disimpan dirumah agar tiada siapa melihat perhiasan itu? Ok, jika awak letakkan perhiasan tadi dikalangan orang, agaknya apa akan jadi dengan barang perhiasan tadi? Lelaki, yang utama hanyalah bawah pusat ke lutut tapi awak? Saya tidak dapat melihat kulit anda pun kecuali muka dan tangan! Awak tak mungkin akan terangsang nafsu tengok saya hanya berseluar pendek ke lutut kan? Tapi kalau sebaliknya, jangankan saya, tapi tok imam pun akan tercabut serbannya jika tengok awak pakai hanya seluar pendek!”

 
Lelaki beriman menjawab keluhan isteri A:
“Ok, isteri perlu taat pada suami. Jadi, lelaki apa? Suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun dia sudah berkeluarga. Isteri tidak perlu lagi, taatnya hanya pada suami. Kenapa awak perlu taat pada suami? Kerana suami kalian lah yang menanggung dosa yang kalian lakukan!”

Lelaki beriman menjawab keluhan remaja perempuan B:
“Betul ke wanita menerima warisan pusaka lagi sedikit daripada lelaki? Tapi kan, harta itu memang hak untuk wanita itu dan dia berhak lakukan apa saja yang dia mahu. Shh.. jangan kongsi dengan sape-sape walaupun suami. Tak kesian pada lelaki ke, dia perlu membahagikan harta pusaka itu kepada isteri dan anak-anaknya. Kalau isteri dia ramai, anak dia ramai, harta pulak secebis, tak merasa lah jawabnya!”


Lelaki beriman menjawab Keluhan isteri B:
“Tahniah la sebab awak dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali awak begitu, wanita itu didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat! Beruntungnya awak! Andaikan awak meninggal pula masa beranak tu, percayalah… itu mati syahid dan ganjarannya syurga. Ya, syurga menanti awak malah beranak 15 kali pun sihat sampai ke tua! Sebab tu tak ramai orang wanita meninggal masa melahirkan !”

 
Lelaki beriman menjawab Keluhan isteri C:
“Akhirat nanti, saya dan lelaki lain didunia ini akan diminta bertanggungjawab keatas empat jenis wanita. Siapa? Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya. Tahu maksudnya? Awak nanti di akhirat, awak akan dibantu oleh empat lelaki! Siapa mereka? Mereka ialah suami, ayah, adik atau abang malah anak lelaki awak!”


Lelaki beriman menjawab Keluhan remaja perempuan C:
“Nak beribadat macam lelaki? Ingat mudah ke nak dapat syurga? Sedarlah, awak sebagai wanita boleh masuk sebarang pintu syurga yang awak sukai. Ya, dah la syurga, ada pilihan pula hanya dengan empat cara. Apa itu? Solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan tahu apa satu lagi? Taat pada suami awak. Itu saja asasnya!”


Lelaki beriman menjawab Keluhan isteri D:
“Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah. Awak, seorang wanita jika taat akan suaminya,dan menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah, maka awak akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata!”

 
Lelaki beriman bertanya:
“Sebenarnya, apa lagi yang awak mahu, wahai kaum hawa?”


Namun, wanita-wanita tadi menangis dan salah seorangnya berkata;
“MasyaAllah, sayangnya Allah pada wanita, namun kami sendiri yang mengheret diri ke neraka yang mana ramainya kaum kami berbanding kaum lelaki!”

Demikianlah dialog wanita-wanita yang curiga itu dengan seorang lelaki biasa namun beriman.


Musuh Islam tidak akan berhenti melakukan segala upaya, sampai kita ikut dan tunduk kepada cara-cara dan peraturan yang dipromosikan dan diperjuangkan mereka.

Allah, yang menciptakan kita, maka sudah pasti Dia yang Maha Tahu pada manusia, sehingga segala hukumNya malah peraturanNya, tentulah yang terbaik bagi manusia dibandingkan dengan segala peraturan yang dicipta manusia.


Wahai lelaki, jagalah isterimu kerana dia perhiasan, pakaian dan ladangmu, sebagaimana Rasulullah s.a.w pernah mengajarkan agar kaum lelaki berbuat baik selalu (lembut) terhadap isteri anda sekalian.


Berbahagialah wahai para muslimah. Tunaikan dan menegakkan agamamu, nescaya syurga menanti...

Siapakah yang lantang membuat persamaan gender didunia? Siapakah yang lantang di Malaysia? Renungkan sejenak konspirasi tersebut.

Jumaat, 15 April 2011

Kata-kata hikmah 3

"MANUSIA MUSNAH KERANA JAHIL (TIDAK BERILMU), ORANG BERILMU MUSNAH KERANA TIDAK BERAMAL, ORANG YANG BERAMAL MUSNAH SEBAB TIDAK ADA...KEIKHLASAN, MALAH TIMBUL RASA RIAK, UJUB DAN TAKBUR".
FIKIRKAN BERSAMA

Isnin, 22 November 2010

Kata-kata hikmah 2


Kata Amirul Mukminin Ali b. Abi Talib:
“Ambillah daripadaku lima perkara:
·Pertama: Jangan engkau mengharapkan seseorang selain dari Tuhan engkau sendiri.
·Kedua: Jangan engkau takuti sesuatu pun, selain dari kemurkaan Ilahi.
·Ketiga: Jangan engkau segan mempelajari yang belum diketahui, walaupun dari sesiapa sahaja.
·Keempat: Hendaklah engkau berani mengatakan; belum mengetahui apa yang sebenarnya engkau belum mengetahuinya.
·Kelima: Hendaklah engkau sentiasa berlaku sabar, kerana sabar itu kepala iman.
Manusia yang paling bahagia ialah orang yang berilmu, sabar dan memadai apa yang ada (qanaah).